Thursday, January 7, 2016

Orang Yang Nak Jadi Kaya

Kata orang apabila kaya, mereka akan bersedekah. Namun sebenarnya mereka lupa bahawa bukan berapa banyak sedekah atau zakat yang mereka keluarkan itu yang menjadi ukurannya di sisi Allah.
Allah SWT berfirman ;
لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنْكُمْ ۚ
"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak akan mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang akan dapat mencapainya." (Al-Hajj: 37)
Tetapi cara mereka beroleh rezeki, apakah menipu atau pun tidak? Adakah produk mereka benar-benar seperti yang didakwa atau sebaliknya?
Itu yang menjadi nilaian Allah. KETAKWAAN MEREKA !
Adakah mereka menggunakan gelaran 'palsu', testimonial palsu dan menggunakan 'persepsi' seperti ubat yang hanya berkesan untuk sebahagian orang TETAPI didakwa berkesan untuk semua orang dan pelbagai lagi bagi mengaut keuntungan.
Banyak cara menipu orang ramai.
Ada yang menipu dengan menjual produk sia-sia hanya gempak dengan dakwaan macam-macam. Ada yang menipu dalam jumlah kandungan seperti menjual gamat atau tongkat ali tetapi nisbah kandungannya sangat-sangat sedikit, bahan lain yang banyak.
Ada yang mendaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mendapat kelulusan (perakuan bahawa produknya selamat dan tidak beracun, ITU SAHAJA) namun apabila diiklankan, dia mendakwa kononnya produknya itu diakui sebagai ubat oleh KKM dan memberikan nombor pendaftaran KKM apabila dipertikai.
Ubat kulit misalnya, merawat jerawat dan kecantikan wajah. Hakikatnya setiap orang mempunyai kulit yang tidak sama, ramuan ubat yang dirumuskan dalam sesuatu produk yang diambil, perlu ditentukan oleh doktor berapa kali hendak dipakai? Kesan sampingan? Jumlah yang hendak digunakan?
Faktor usia, jenis kulit, lelaki perempuan, kesan pada hormon seperti mengandung atau bukan banyak diambil kira dalam perubatan moden.
Kalau di hospital, yang mengajar kita cara memakai ubat ialah pegawai farmasi.
Namun semua langkah ini di 'skip' oleh peniaga dan hanya menjual produk-produk mereka demi mengaut keuntungan segera atas nama 'kami berniaga mencari rezeki halal.'
Hakikatnya, ia tidak halal begitu.
Diriwayatkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda tentang tiga golongan yang Allah tidak akan berbicara kepada mereka dan tidak melihat mereka pada hari kiamat dan salah satunya ialah ;
وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِبِ
'Orang yang melariskan dagangannya dengan sumpah palsu.' [Riwayat Muslim]
Kaya dunia apa ertinya, kalau kita menjual sesuatu yang kemudian membuatkan kita disiasat dan disoal oleh Allah SWT di padang masyhar?

Ditulis oleh Ustaz Emran Ahmad

No comments:

Post a Comment