Thursday, January 7, 2016

Orang Yang Nak Jadi Kaya

Kata orang apabila kaya, mereka akan bersedekah. Namun sebenarnya mereka lupa bahawa bukan berapa banyak sedekah atau zakat yang mereka keluarkan itu yang menjadi ukurannya di sisi Allah.
Allah SWT berfirman ;
لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنْكُمْ ۚ
"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak akan mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang akan dapat mencapainya." (Al-Hajj: 37)
Tetapi cara mereka beroleh rezeki, apakah menipu atau pun tidak? Adakah produk mereka benar-benar seperti yang didakwa atau sebaliknya?
Itu yang menjadi nilaian Allah. KETAKWAAN MEREKA !
Adakah mereka menggunakan gelaran 'palsu', testimonial palsu dan menggunakan 'persepsi' seperti ubat yang hanya berkesan untuk sebahagian orang TETAPI didakwa berkesan untuk semua orang dan pelbagai lagi bagi mengaut keuntungan.
Banyak cara menipu orang ramai.
Ada yang menipu dengan menjual produk sia-sia hanya gempak dengan dakwaan macam-macam. Ada yang menipu dalam jumlah kandungan seperti menjual gamat atau tongkat ali tetapi nisbah kandungannya sangat-sangat sedikit, bahan lain yang banyak.
Ada yang mendaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mendapat kelulusan (perakuan bahawa produknya selamat dan tidak beracun, ITU SAHAJA) namun apabila diiklankan, dia mendakwa kononnya produknya itu diakui sebagai ubat oleh KKM dan memberikan nombor pendaftaran KKM apabila dipertikai.
Ubat kulit misalnya, merawat jerawat dan kecantikan wajah. Hakikatnya setiap orang mempunyai kulit yang tidak sama, ramuan ubat yang dirumuskan dalam sesuatu produk yang diambil, perlu ditentukan oleh doktor berapa kali hendak dipakai? Kesan sampingan? Jumlah yang hendak digunakan?
Faktor usia, jenis kulit, lelaki perempuan, kesan pada hormon seperti mengandung atau bukan banyak diambil kira dalam perubatan moden.
Kalau di hospital, yang mengajar kita cara memakai ubat ialah pegawai farmasi.
Namun semua langkah ini di 'skip' oleh peniaga dan hanya menjual produk-produk mereka demi mengaut keuntungan segera atas nama 'kami berniaga mencari rezeki halal.'
Hakikatnya, ia tidak halal begitu.
Diriwayatkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda tentang tiga golongan yang Allah tidak akan berbicara kepada mereka dan tidak melihat mereka pada hari kiamat dan salah satunya ialah ;
وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِبِ
'Orang yang melariskan dagangannya dengan sumpah palsu.' [Riwayat Muslim]
Kaya dunia apa ertinya, kalau kita menjual sesuatu yang kemudian membuatkan kita disiasat dan disoal oleh Allah SWT di padang masyhar?

Ditulis oleh Ustaz Emran Ahmad

Tuesday, November 17, 2015

Kalau Sudah Namanya Penipu

Diriwayatkan bahawa seorang penipu hadith bernama Ma'mun bin Ahmad telah menyampaikan sebuah hadith dengan mendakwa dia telah mendengar hadith tersebut daripada seorang tabien yang bernama Hisyam bin Ammar (perawi hadith yang siqah di Syam).
Lalu Imam Ibn Hibban rahimahullah pun menguji Ma'mun bin Ahmad ini dengan bertanya kepadanya, bilakah engkau memasuki Syam? Dia pun menjawab pada tahun 250 hijrah.
Maka dibalas oleh Ibn Hibban dengan mengatakan ;
فإن هشام بن عمار الذي تروي عنه مات في سنة خمس وأربعين ومائتين
Hisyam bin Ammar yang kamu dakwa meriwayatkan hadith daripadanya itu sudah meninggal dunia pada tahun 245 hijrah (5 tahun sebelum kamu memasuki Syam bagi mendedahkan pendustaannya).
Lalu dia pun kemudian cepat-cepat menutupi penipuannya dengan mengatakan ini ialah Hisyam bin Ammar yang lain.
[Al-Majruhin min al-Muhadithin, Ibn Hibban]
# Kalau dahulu pun orang sudah berani menipu dalam agama, maka berhati-hatilah kita pada masa kini.
Zaman yang penuh kepalsuan dan penyelewengan. Ambil agama daripada sumber yang dipercayai agar selamat dunia akhirat!

Ditulis oleh Ustaz Emran Ahmad

Putar Belit Agama

Sejak zaman salaf lagi sudah ada agamawan pembohong yang berani berdusta atas nama Nabi salallahualaihiwassalam konon dia memiliki tujuan yang murni.
Apabila mereka diperingatkan dengan hadith Nabi salallahualaihiwassalam ;
من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
Barangsiapa yang berdusta ke atas aku dengan sengaja maka bersiaplah dengan tempat duduknya daripada api neraka.
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Mereka pun tanpa takut dan tanpa segan silu menjawab ;
قالوا : نحن نكذب له لا عليه
Kami berdusta demi Nabi sallahualaihiwassalam bukan ke atas Nabi.
[Syarah Nukhbatul Fikar, Shaikh 'Abdul-Kareem al-Khudair]
# Islam sudah sempurna, kebenarannya sudah memadai tanpa memerlukan kepalsuan untuk menguatkannya!

Ditulis oleh Ustaz Emran Ahmad

Alkisah Cabaran

Nak bina rumah itu mencabar, nak jaga rumah siap lagi mencabar.
Nak beli kereta itu mencabar, nak maintain kereta lagi mencabar.
Nak minta kerja itu mencabar, nak jaga kerja lagi mencabar.
Nak buat anak itu mencabar, nak jaga anak lagi mencabar.
Nak ada isteri itu mencabar, nak jaga isteri lagi mencabar!
Begitulah juga halnya...
Nak buat produk itu mencabar, nak jaga produk lagi mencabar.
Nak dapat pelanggan itu mencabar, nak jaga pelanggan lagi mencabar.
Nak mula bisnes itu mencabar, nak jaga bisnes lagi mencabar.

Ditulis oleh M Firdaus Baharuddin

Wednesday, November 11, 2015

Kerana Dosa dan Keaiban Kita Dipelihara Allah

Kata Imam Abu Al-Wafa' bin 'Aqil (wafat 513 Hijrah):
العاقل من عرف نفسه ولا يغيره مدح من لا يخبرها
Orang yang berakal ialah orang yang kenal hakikat dirinya sendiri dan tidak terpedaya dengan pujian orang-orang yang (sebenarnya) tidak tahu siapa dirinya (yakni diri orang yang dipuji itu) yang sebenar.
[Al-Muntazam fi Tarikh Al-Umam, Ibn Jauzi]
Manusia memuji kita kerana mereka tidak mengenali diri kita, tidak mengetahui dosa dan kekurangan kita. Andaikata dosa itu dapat dihidu dan berbau nescaya tiada sesiapa pun yang akan sudi mendekati diri kita apatah lagi mahu memuji dan menyanjungi.
Seperti yang disebut oleh seorang tabien yang bernama Muhammad bin Wasi' Al-Azdi rahimahullah ;
لو كان للذنوب ريح، ما قدر أحد أن يجلس إلي
Kalaulah dosa itu memiliki bau, nescaya tiada sesiapa pun yang akan sanggup untuk duduk denganku.
Kepada Allah-lah segala pujian dikembalikan, Dia-lah yang memberikan kita segala apa yang menjadi punca orang memuji, Dia-lah yang menyembunyikan aib kita sehingga tiada orang yang boleh mengeji.
Dia-lah Tuhan yang Maha Terpuji!

Ditulis oleh Ustaz Emran Ahmad

Thursday, November 5, 2015

Istikharah yang Salah

Ada orang yang mahu melakukan istikharah, namun dia tidak memahami hukum-hakam agama Allah sehingga dia melakukan solat istikharah untuk memilih di antara perkara yang wajib dan yang haram.
Sedangkan istikharah hanya dilakukan pada perkara yang harus dan ketika mahu memilih di antara dua perkara sunat yang hendak dilakukan atau ketika mahu memilih yang manakah perlu didahulukan?

Para ulama menyebut ;

فالاستخارة لا محل لها في الواجب والحرام والمكروه , وإنما تكون في المندوبات والمباحات ، والاستخارة في المندوب لا تكون في أصله ; لأنه مطلوب , وإنما تكون عند التعارض , أي إذا تعارض عنده أمران أيهما يبدأ به أو يقتصر عليه ؟ أما المباح فيستخار في أصله

Istikharah tidaklah berlaku untuk perkara yang wajib, haram dan makruh. Sebaliknya ia berlaku kepada perkara yang mandub (sunat) dan yang mubah (harus). Dan Istikharah pada perkara yang mandub (sunat) pun bukanlah pada asalnya, kerana perkara yang sunat itu masih sahaja diperintahkan, akan tetapi apabila ada pertembungan di antara dua perkara yang sunat iaitu jika berlaku hal yang demikian kepadanya maka istikharah dilakukan untuk menetapkan yang mana satukah yang sepatutnya dia mulai atau dipilih salah satu sahaja antara keduanya? Adapun perkara yang mubah (harus), maka dilakukan istikharah secara hukum asalnya (dalam semua keadaan).

[Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, Kementerian Wakaf dan Urusan Agama Kuwait]

# Sebelum membuat Istikharah, semak dahulu kedudukan sesuatu perkara apakah sudah ada dalil atau hukum mengenainya. Apakah ianya wajib, harus, sunat atau haram dan makruh?


Ditulis oleh Ustaz Emran Ahmad

Apa yang Berlaku pada Diri Kita Hari Ini Adalah Kerana Tindakan Kita Pada Masa Lepas

Ditulis oleh Zaidi Ismail (Mentor Kewangan)

Kalau nak ikutkan apa yang kita nak , kita akan mudah kecewa , sebab jarang kita dapat apa yang kita nak , tapi janji Allah itu pasti , dia tidak bagi kita apa yang kita nak tapi apa yang kita perlukan.
.
Dulu saya pun minat dan nak Siti Nurhaliza tapi Allah bagi saya mem COO Siti Nur Azahani kerana saya lebih memerlukan mem COO , mungkin pengaruh faktor usia , saya kini malas malas nak fikir apa yang saya nak , saya terima jer apa yang Allah bagi. Senang dan tenteram hidup.
.
Saya tiada kereta bukan kerana saya tidak mahu beli kereta tapi saya tiada keperluan , tahun-tahun sebelum ini lebih 200 hari dalam setahun masa saya di habiskan di luar negara. Bila masa nak bawa kereta sendiri kan ?
.
Saya tidak beli dan tinggal di rumah sendiri bukan kerana tidak mahu beli tetapi tiada keperluan untuk tinggal di rumah sendiri , lagipun rumah sewa saya seberang jalan dengan pejabat mem COO untuk mudahkan beliau berjalan kaki ke pejabat serta menyewa lebih murah dan menjimatkan masa , belum dikira tanpa kos tol dan minyak.
.
Dari dulu saya memang doa dan mohon kepada Allah supaya di permudahkan hidup saya sekeluarga, alhamdulillah sememangnya hidup saya mudah , sangat mudah kerana saya memang nak hidup saya mudah tanpa sebarang tekanan orang di sekeliling.
.
Kita yang corakkan kehidupan kita sendiri , tidak di nafikan , kehidupan saya mungkin dianggap pelik bagi kebanyakan orang , tapi lebih baik pelik dari mengikut sahaja seperti orang lain tidak ubah seperti kambing yang diternak. Ikut sahaja apa yang normal dan diterima pakai oleh masyarakat. Maaf , saya bukan kambing yang boleh di gembala sedemikian rupa.
.
Kita yang buat keputusan dari mula bangun pagi setiap hari sehinggalah kita tidur di malam harinya , saya pilih untuk menambah harta setiap hari , manakala orang lain memilih untuk menambah beban setiap hari , itu adalah pilihan masing-masing , tiada siapa yang paksa kita membuat pilihan tersebut.
.
Kalau korang rasa yang pakai kereta besar , rumah besar , isteri besar , makan besar dan sebagainya boleh membuatkan korang bahagia , silakan , tapi pada waktu yang sama jangan pula merungut dengan beban yang di tanggung.