Wednesday, October 28, 2015

Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain?

Adakalanya kita merasa cemburu dengan pencapaian, kejayaan, harta & perolehan orang lain. Tanpa DIKAWAL, cemburu itu boleh memakan diri, menghasil dengki, muram, murung & stress berlebihan.
Kawal ia dengan positifkan diri untuk menuruti kejayaannya secara halal ( jika relevan), itu namanya 'ghibtah'
Kawal ia dengan yakini itu rezekinya dan ujian baginya. Tiada siapa boleh halang jika ia juga BAKAL menjadi rezeki kita..justeru, tiada perlu muram, sedih & stress melampau.
Kawal ia dengan rasa kejayaan itu adalah hasil kerja dan jalan berliku lagi berat dia sebelum ini, maka layaklah baginya dan tiadalah kita hadapi cabaran & keletihan sebegitu justeru tiadalah hasil sepertinya.
Kawal ia dengan lihat umurnya, mungkin beza tahun pengalaman dan umur punca seseorang perolehi lebih banyak dari kita yang mungkin masih muda.
Kawal ia dengan melihat rezeki yang telah kita perolehi serta bersyukur, reda serta terus berusaha dan JANGAN fokus kepada apa yang kita tiada..
KAWAL ia dengan yakini kebahagian bukan semestinya sama dari satu orang kepada yang lain, berjaya , kaya dan terkenal sepertinya BELUM tentu bahagia, MAKA BAHAGIAKAN diri kita dengan apa yang ada, itu rezeki paling mahal.

Ditulis oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Tuesday, October 27, 2015

Jangan Tunjuk Pandai Depan Orang Tua dan Guru yang Lebih Senior


وسئل ابن المبارك بحضور سفيان بن عيينة عن مسألة
Seseorang bertanya kepada Imam Abdullah bin Al-Mubarak di hadapan Imam Sufyan bin Uyainah tentang sesuatu masalah.

Maka berkatalah Imam Abdullah bin Al-Mubarak rahimahullah;
إنا نهينا أن نتكلم عند أكابرنا

Sesungguhnya kita dilarang berbicara (tunjuk pandai) di sisi orang-orang tua kita.
[Siyar A'lam al-Nubala, Adz-Zahabi]

# Imam Abdullah bin al-Mubarak lahir pada tahun 118 hijrah, manakala Imam Sufyan bin Uyainah lahir pada tahun 107 hijrah.
Imam Sufyan bin Uyainah rahimahullah lebih tua 11 tahun daripada Imam Abdullah al-Mubarak, lebih awal mengaji dan menuntut ilmu serta merupakan guru kepada Abdullah bin al-Mubarak.


Ditulis oleh Ustaz Emran Ahmad

Kos "Gunting Dalam Lipatan"

Majoriti pemilik bisnes kecil, yang dioperasi dari rumah atau sole proprietorship atau berpartner dengan pasangan mereka - terbunuh akibat tidak mengambil berat tentang kos bisnes mereka.
Kos yang diambil berat adalah direct seperti bahan mentah dan sewa tapak atau kedai.
Paling sedih - jual RM10, kos bahan RM4 = Dah rasa untung besar sebab ada RM6. Kalau 1,000 unit terjual sudah untung RM6,000. Fuh...
Kos "Gunting Dalam Lipatan" adalah kos yang diambil ringan atau rasa boleh diserap.
Kos minyak kereta beli bahan mentah, pergi pejabat pos, ansuran kereta, maintenance kereta, gaji driver - Ini baru cerita kereta.
Bayangkan berapa banyak kos jenis ini yang kita ketepikan akhirnya hujung bulan tiada duit, bahkan gaji kita menampung bisnes (nasib baik masih kerja) walaupun sales bulanan mencecah puluhan ribu ringgit.
Semak semua kos terlibat dengan bisnes kita. Selamatkan cashflow kita dari tercekik.

Ditulis oleh M Firdaus Baharuddin

Monday, October 26, 2015

Rezeki Sebenar

Rezeki adalah sesuatu yang telah kita berjaya guna dan manfaatkan. Apa yang berjaya kita kumpul belum tentu menjadi 'rezeki' sehingga dinafqahkan kepada jalan yang betul sewaktu kita hidup. Jika dibelanjakan dengan cara salah, ia hanya menjadi musibah nanti.
Nabi Muhammad salla Allahu 'alaihi wasallam bersabda :

يقولُ ابنُ آدمَ : مالي . مالي ( قال ) وهل لك ، يا ابنَ آدمَ ! من مالكَ إلا ما أكلتَ فأفنيتَ ، أو لبستَ فأبليتَ ، أو تصدقتَ فأمضيتَ ؟
Ertinya : Anak Adam berkata harta aku harta aku, Katakan pada mereka "wahai anak adam, harta kamu yang sebenarnya adalah apa-apa yang telah engkau makan lalu habis, telah pakai lalu rosak, yang engkau SEDEQAHKAN lalu berlalu (seolah tersimpan di akhirat). ( Hadis riwayat Muslim)


Dikongsikan daripada Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Ulama dan Budaya Membaca

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SENGAJA ditulis pada ruangan ini berkenaan dengan kepentingan membaca. Mudah-mudahan masyarakat Malaysia membudayakan budaya iqra’ dalam kehidupan harian mereka.

Di sini, disertakan mutiara kata dan hikmah oleh cendekiawan dan tokoh berkenaan dengan menuntut ilmu dan membaca.

Suatu ketika, ada seorang lelaki mengadu kepada Imam Ahmad bin Hanbal tentang perasaannya yang sedih dan kesepian, lalu Imam Ahmad berkata kepada sahabatnya: “Ambil buku lalu baca!”

Pernah suatu ketika, para sahabat Abdullah bin Mubarak berkata kepadanya: “Kenapa kamu tidak mahu duduk dan berkumpul dengan kami?” Lalu dia berkata kepada mereka: “Saya lebih senang duduk dan berkumpul bersama Baginda SAW dan para sahabat (iaitu lebih senang bersama buku-bukunya), kerana setiap kali berkumpul di dalam majlis, kamu selalu mengumpat dan membicarakan orang lain.”

Abdullah bin al-Amri berkata: “Tidak ada sesuatu yang lebih bermanfaat dari buku”.

Al-Ma’mun berkata: “Tidak ada sesuatu yang lebih mengasyikkan dari berjalan-jalan di alam fikiran orang-orang berilmu”.

Al-Jahiz berkata: “Buku adalah sebaik-baik kawan penghibur tatkala kesepian dan sebaik-baik kawan di kala menyendiri”.

Sesungguhnya berbual dengan kitab-kitab pada saat-saat yang panjang menanamkan air mata yang banyak berkilauan, terpancar daripadanya sungai-sungai hikmah terbelah, lalu keluar daripadanya air bayan, turun daripadanya khazanah-khazanah kecerdikan dan petikan-petikan genius.

Maka kitab-kitab adalah pintu gerbang agama dan nikmat pendidikan asal, bagi akal yang waras.

Kitab tidak mempunyai sifat mengumpat, riak, hasad dan takbur, kitab tidak mempunyai perasaan bosan, jemu, muak dan kebencian.

Kitab mengandungi hikmat yang terang benderang, pengajaran yang cemerlang, ungkapan yang fasih, metod yang betul, pandangan yang segar, khabar yang terpilih dan eksperimen yang hidup.

Dr. Aidh al-Qarni berkata: “Antara buku-buku yang akan cepat mati adalah buku-buku pemikiran yang hanya bersifat karangan belaka, di dalamnya tidak tercantum nas-nas agama, penukilan, analisa mahupun pendalaman suatu bidang”.

Dr. Aidh al-Qarni menyeru supaya membaca dan merenungi riwayat hidup para sahabat, tabi’in, para ulama besar dan orang soleh.

Ini kerana hal sedemikian dapat menjadikan hati seseorang lembut dan tidak keras.

Francis Bacon berkata: “Sedikit ilmu malah memungkinkan dapat membuat anda menjadi orang yang ateis, dan jika anda mahu memperdalam ilmu, maka anda akan beriman kepada Tuhan”.

Amat baik kita meneruskan aktiviti membaca kerana terlalu banyak faedah dan manfaatnya. Dinukilkan di sini, pendapat Dr. Aidh al-Qarni melalui bukunya Beginilah Zaman Memotivasikan Kita.

Antara lain, beliau berkata: “Aktiviti membaca dapat menambah ilmu, wawasan dan meluaskan lagi cakerawala pemikiran setiap orang yang mahu membaca, karya-karya orang lain dan ilmu pengetahuan mereka, maka sudah pasti pengetahuan dan wawasannya akan semakin bertambah luas dan akal fikirannya dapat berkembang, terutama jika yang dibaca adalah hal-hal yang bermanfaat.

“Saya dapat merenungi pelbagai permasalahan dan pengalaman yang nampak, kerana tidak lain adalah dari membaca buku.

“Daripada aktiviti membaca, saya dapat mengemukakan pelbagai hal yang menarik dan menakjubkan.

“Saya dapat mengetahui pelbagai pengalaman, kejadian dan musibah yang menimpa umat manusia.

“Melalui aktiviti membaca, abad-abad yang telah lalu seolah-olah digulung di hadapan saya seperti lembaran-lembaran kertas, seolah-olah bangsa yang telah lalu dikumpulkan di hadapan saya.

“Wahai orang yang dapat bersabar untuk menyendiri, yang dibukakan baginya pintu pengetahuan dan wawasan yang bersabar hanya berteman buku, jangan kamu bersedih hati dan menyesal kerana telah kehilangan beberapa hal di luar sana.

“Ini kerana sebenarnya kamu hanya kehilangan orang yang iri hati, cepat bosan atau orang yang pemarah.

“Sesiapa yang telah merasakan nikmatnya uzlah (menyendiri) bersama buku-buku yang bermanfaat, maka ia tidak akan menginginkan pengganti yang lain, sekalipun ia berupa kerajaan Kisra dan Kaisar.

Sumber: Utusan Malaysia

Pencinta Buku: Bacalah Buku Berulang Kali

Membaca kisah para nabi dan para salafus soleh yang terdahulu merupakan salah satu daripada pembacaan yang cukup bermanfaat, kerana dengannya kita dapat mengambil teladan dalam menjalani kehidupan seharian, meskipun mereka telah lama meninggalkan kita.

Ketika membaca sebahagian kisah ulama Islam di dalam buku-buku yang saya telaah daripada muka surat ke muka surat, antara perkara yang cukup menarik hati saya dan membuatkan saya takjub adalah apabila membaca mengenai ulama yang mempunyai hafalan yang cukup menakjubkan; di mana di antara para ulama Islam ada yang membaca sebuah buku dengan sekali bacaan sahaja mampu menguasai dan menghafal apa yang terkandung di dalam buku berkenaan.

 Suka untuk saya mendatangkan satu contoh di sini, sebagaimana yang dinukil dalam sebuah buku yang bertajuk Kejaiban Hafalan Bimbingan Bagi Mereka Yang Ingin Menghafal Al-Qur’an yang diterjemahkan daripada sebuah kitab arab karya Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, bahawa telah berkata Jamaluddin As-Sarmadi: “Di antara keajaiban pada masa ini dalam masalah hafalan adalah Ibnu Taimiyyah. Dahulu, dia menelaah satu kitab sekali sahaja, maka telah terpateri di dalam benaknya.” Sememangnya kemampuan yang dimiliki oleh Ibnu Taimiyyah itu adalah satu perkara yang menakjubkan bagi saya!

Sebagai seorang yang minat membaca, saya selalu berharap saya mampu menguasai apa yang terkandung dalam buku dengan hanya sekali bacaan sahaja, sebagaimana sebahagian ulama pada zaman dahulu. Saya percaya, di luar sana tidak sedikit daripada kalangan pencinta buku yang mempunyai keinginan yang sama seperti saya itu.

Namun, hakikatnya diri saya hanyalah insan biasa, bukanlah genius dan sedemikian hebat; mampu menguasai isi yang hendak disampaikan dalam sebuah buku dengan sekali bacaaan semata-mata. Terkadang selepas membaca sebuah buku, saya seakan-akan tidak begitu ingat apa yang telah saya baca, bak kata orang ‘masih kabur’. Mungkin anda pun memiliki masalah yang sama.


Namun itu bukanlah penghalang untuk saya untuk terus membaca dan membuat saya putus asa sehingga berhenti membaca.

Adalah menjadi kebiasaan saya sebelum ini, apabila telah selesai membaca buku dengan sekali bacaan, maka saya tidak akan mengulangi untuk membaca buku berkenaan daripada muka surat pertama sehinggalah ke muka surat yang terakhir, kerana saya beranggapan perkara itu adalah perbuatan membuang masa. Itulah sikap saya sebelum ini. Satu “mind set” sebenarnya perlu dinilai semula.

Baru-baru ini saya membaca sebuah buku bertajuk Kelebihan dan Keutamaan Menuntut Ilmu, yang asalnya sebuah kitab arab bertajuk Kaifa Tatahammas Li Thalabil ‘Ilmisy Syar’ie karya Abul Qa’qa Muhammad bin Shalih, kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa melayu. Di dalam buku berkenaan dimuatkan 102 metode bagaimana untuk memotivasikan seseorang dalam menuntut ilmu syar’ie yang dicedok daripada kehidupan para ulama Islam.

Dan antara perkara yang saya dapat jadikan iktibar daripada buku berkenaan, kejayaan tidak akan datang bergolek dan manusia tidak akan memperolehi ilmu dengan bersenang-senangan. Apatah lagi bermalas-malasan!

Sebagai mana kata-kata seorang ulama, ilmu itu tidak akan diperolehi dengan tubuh yang bersenang-senangan dan bermalasan-malasan.

Sekiranya ingin menguasai apa yang terkandung dalam sebuah buku, maka kita tidak boleh bosan untuk membaca sebuah buku berulang kali. Usaha membaca berulang kali perlu dilakukan, barulah apa yang kita baca dapat kita kuasai dan fahami dengan sebaiknya. Inilah yang dilakukan oleh para ulama terdahulu.

Saya percaya, diluar sana ada ramai sudah maklum dan faham perkara ini dan tidak perlu untuk saya beritakan. Namun, bukanlah tujuan utama saya untuk memberitakan yang sedemikian, tetapi yang pertama sekali, saya tujukan penulisan ini buat diri saya sendiri. Semoga saya tidak mudah melupakannya.

Insya’ Allah, seterusnya saya akan sebutkan sedikit contoh mengenai sikap para ulama dalam usaha membaca sebuah kitab berulang-ulang kali.

Abul Qa’qa Muhammad bin Shalih menyatakan dalam bukunya Kaifa Tatahammas Li Thalabil ‘Ilmisy Syar’ie: Imam An-Nawawi ketika menulis biografi Imam Abdul Ghafir bin Muhammad Al-Farisi, telah berkata: “Al-Hafiz Al-Hasan As-Samarqandi membaca Sahih Muslim lebih daripada 30 kali. Dan Abu Sa’id Al-Buhairi membaca Sahih Muslim di hadapannya lebih daripada 20 kali.”

Disebutkan lagi dalam buku berkenaan, seorang ulama yang bernama Abu Bakar Al-Abhari, telah membaca kitab Mukhtasar Ibnu Abi Hakam sebanyak 500 kali, As-Asadiyah sebanyak 75 kali, Mukhtasar Al-Barqi sebanyak 70 kali, Al-Mabsuth sebanyak 70 kali dan Al-Muwaththa' karya Imam Malik sebanyak 45 kali.

Dr. ‘Aid Abdullah Al-Qarni menyatakan dalam kitabnya Miftahun Najah yang telah diterjemahkan dengan tajuk Kunci Kejayaan Minda, seorang alim daripada Andalusia telah mengkhatamkan bacaan Sahih Bukhari sebanyak 700 kali dan anak murid Imam Asy-Syafi’e, iaitu Al-Muzani telah mengkhatamkan bacaan kitab Ar-Risalah karya gurunya itu sebanyak 500 kali!

Sekian sahaja penulisan yang serba ringkas ini, semoga ianya akan memberikan manfaat terutamanya kepada diri saya sendiri, seterusnya kepada anda yang membaca penulisan ringkas ini.

Akhir sekali saya tinggalkan anda dengan kata-kata seorang bloggers wanita daripada jomsewabuku.blogspot.com dengan katanya: “Saya ingin anda membaca dan terus mengulangi dan mengulanginya sehinggalah buku itu lusuh!”

Wallahu ‘alam.

Rujukan:

* Dr. ‘Aid Abdullah Al-Qarni, Miftahun Najah (Edisi Terjemahan: Kunci Kejayaan Minda, Penterjemah: Abdul Arham Mat), Telaga Biri Sdn. Bhd, Cetakan pertama, 2008.
* Abul Qa’qa Muhammad bin Shalih, Kaifa Tatahammas Li Thalabil ‘Ilmisy Syar’ie (Edisi Terjemahan: Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu, Penterjemah: Nurul Mukhlisin), Crescent Sdn. Bhd, 2010.
* Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, Keajaiban Hafalan Bimbingan Bagi Yang Ingin Menghafal Al-Qur’an (Penterjemah: Ummu Abbas), Pustaka Al-Haura’, Cetakan kedua, 1430 Hijriah.
* Jomsewabuku.blogspot.com.

Sumber: al-fikrah.net

Monday, October 12, 2015

Buku: Isu Akidah antara Salaf dan Khalaf

Isu Akidah antara Salaf dan Khalaf karya Dr Yusuf Al-Qaradhawi ini mengetengahkan 4 daripada 20 usul yang disusun oleh As-Syahid Imam Hassan al-Banna. Isu yang dibincangkan dalam usul-usul itu menjadi perselisihan antara ulama salaf dan ulama khalaf. Antaranya adalah isu sifat Allah yang disebut dalam al-Quran dan hadis, karamah para wali, serta hukum menziarahi kubur.

Salaf atau lebih dikenali sebagai “ulama terdahulu” adalah generasi awal yang hidup pada tiga kurun pertama selepas kelahiran Nabi Muhammad saw. Salaf terdiri daripada sahabat, tabi’in, dan tabi’tabi’in.

Khalaf atau lebih dikenali sebagai “ulama terkemudian”, adalah mereka yang hidup selepas tahun 300 Hijrah. Dengan mengambil pandangan wasatiyyah berdasarkan Al-Quran, hadith serta pandangan ulama terkenal seperti Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, dan Imam Al-Ghazali, buku ini menghuraikan secara terperinci perihal empat isu utama yang menjadi perselisihan antara ulama salaf dan khalaf.

Sesiapa yang berijtihad dalam mengenal agama Allah swt, padahal mereka adalah ahli ilmu, mereka mencari kebenaran. Mereka sentiasa dalam lingkungan golongan yang mendapat satu atau dua pahala. Satu pahala jika ijtihad mereka salah dan dua pahala jikalau ijtihad mereka benar.


Salaf atau lebih dikenali sebagai "ulama terdahulu" adalah generasi awal yang hidup pada tiga kurun pertama selepas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Salaf terdiri daripada sahabat, tabi'in, dan tabi' tabi'in.

Khalaf atau lebih dikenali sebagai "ulama terkemudian" adalah mereka yang hidup selepas tahun 300 Hijrah.

Dengan mengambil pandangan wasatiyyah berdasarkan Al-Quran, hadith, serta pandangan ulama terkenal seperti Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, dan Imam Al-Ghazali, buku ini menghuraikan secara terperinci perihal empat isu utama yang menjadi perselisihan antara ulama salaf dan khalaf.

Isu Akidah antara Salaf dan Khalaf karya Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ini mengetengahkan 4 usul daripada 20 usul yang disusun oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna, iaitu:

- Ayat Al-Quran ataupun hadith yang menyebut perihal sifat Allah s.w.t. iaitu perihal anggota zahir, perbuatan, dan gerakan yang menyerupai makhluk. 
- Perihal para wali dan karamah mereka.
- Menziarahi kubur, adakah sunnah ataupun bid'ah.
- Konsep tawassul kepada Allah s.w.t. melalui perantaraan nabi dan para wali.


Kandungan

Pendahuluan

Pengenalan

Bahagian 1: Usul ke-10

Bab 1: Ayat dan Hadith Shahih tentang Sifat Allah s.w.t.

Bab 2: Perselisihan dalam Isu Ayat dan Hadith Sifat

Bab 3: Pandangan Paling Tepat tentang Mazhab Salaf

Bab 4: Pandangan Khalaf tentang Nas Sifat

Bab 5: Pandangan Penulis tentang Nas-Nas Sifat

Bab 6: Keperluan Mengutamakan Mazhab Salaf

Bab 7: Pelengkap

Bahagian 2: Usul ke-13

Bab 8: Para Wali dan Karamah Mereka

Bahagian 3: Usul ke-14

Bab 9: Ziarah Kubur: Syariat ataupun Bid'ah

Bahagian 4: Usul ke-15

Bab 10: Tawassul

Glosari